Allah lebih mengetahui apa yang memudaratkan kita berbanding diri kita sendiri. Jesteru, apabila Allah melarang sesuatu, sama ada berbentuk benda, perkara atau perbuatan, maka pasti ia akan membawa kemudaratan. Oleh sebab itu, setiap tegahanNya bukan untuk menyusahkan apatah lagi menzalimi manusia tetapi demi kebaikan hambaNya jua.
Maksiat dilarang oleh Allah kerana ia membawa mudarat bukan sahaja di akhirat, tetapi juga di dunia. Orang yang bermaksiat akan didera oleh dua "neraka" - satu neraka akhirat yang kekal abadi, satu lagi adalah "neraka" dunia yang tidak kurang azabnya. Menurut para ulama, selain kehilangan keberkatan rezeki, sukar beribadah, terhijab daripada ilmu yang bermanafaat, hilang rasa malu, sentiasa diburu oleh rasa was-was, gelisah dan cemas, orang bermaksiat akan terjejas kesihatan tubuh badannya.
Orang yang melakukan maksiat akan berasa miskin dalam kekayaannya, sempit dalam kelapangannya dan sunyi walaupun dikelilingi orang yang memuja dan mengaguminya.
Keadaan orang yang melakukan maksiat : di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meskipun lahiriahnya nampak senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana-mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama mana dia belum sampai keyakinan dan petunjuk, maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih ragu. Inilah kehidupan yang sempit.
Sumber rujukan: Majalah Solusi isu ke 35. 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan