Ingat kebaikan, jasa dan budi orang kepada kita.
Perlu diingat selalu jasa orang lain dan sekiranya berpeluang, eloklah dibalas walaupun balasan itu tidak setimpal dengan sumbangannya. Orang yang paling banyak budinya kepada kita ialah ibu bapa. Ingatan ini akan melahirkan rasa berterima kasih dan penghargaan. Lebih-lebih lagi kita perlu ingat dan mensyukuri segala nikmat dan limpah kurnia Allah swt kepada kita yang tidak terhingga banyaknya. Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya(sebagai tanda bersyukur).” (Surah al-Duha 93:11)
Ingat kesalahan kita pada orang lain.
Rasa bersalah itu penting kerana rasa itulah yang mendorong kita meminta maaf, terutama kesalahan terhadap ibu bapa. Lebih-lebih lagi kita perlu ingat dan menginsafi dosa-dosa dan kederhakaan kita kepada Allah, dengan beristighfar dan bertaubat. Kekalkan rasa berdosa itu supaya kita terhindar daripada melakukan kesalahan lain, kerana hati sentiasa takut dan berharap agar Allah mengampunkan dosa-dosa kita.
Lupakan segala budi, jasa dan kebaikan kita kepada orang lain
Jangan diungkit-ungkit dan dikenang-kenang terutamanya kebaikan kita kepada ibu bapa. Rasakan seolah-olah kita tidak banyak pun berbuat baik kepada orang lain. Lebih-lebih lagi, kita perlu melupakan segala amal ibadah yang telah kita buat kerana Allah. Dengan itu, moga-moga hati kita tidak dilintasi oleh rasa ujub, sum’ah, riyak ataupun rasa diri baik dan mulia.
Lupakan kejahatan orang lain terhadap diri kita.
Anggaplah seolah-olah tidak ada sesiapa yang bersalah kepada kita supaya tidak tercetus rasa marah atau dendam terhadap orang lain. Lebih-lebih lagi hendaklah kita lupakan segala kesusahan dan ujian, musibah atau malapetaka yang ditimpa oleh Allah kepada kita seperti sakit, kematian, kerugian, kemalangan dan kegagalan. Agar tidak tercetus perasaan tidak sabar dan tidak reda dengan ketentuan Allah.
(Sumber: Majalah SOLUSI Isu No 35)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan